Terdapat banyak cerita tentang kehebatan Imam Abu Hanifah yang berjaya berdebat dengan golongan kafir dan sesat. Antaranya ialah cerita perdebatan beliau ketika umurnya masih muda.
Ceritanya begini: Seorang Dahri atau Mulhid (atheis) telah menemui Sheikh Hammad iaitu guru Imam Abu Hanifah. Sebelum itu, dia telah mencabar para ulama’ berdebat dengan mengatakan:
"Kalian mengatakan Allah itu wujud tanpa ada tempat, sedangkan setiap yang wujud mesti mempunyai tempat".
Ramai ulama telah kalah berdebat, kemudian si Dahri ini bertanya kepada orang ramai:
"Masih adakah ulama di kalangan kamu yang mampu berdepat denganku?"
Mereka menjawab: "Ada, beliau bernama Sheikh Hammad".
Si Dahri pun mohon Khalifah agar perintahkan Sheikh Hammad untuk berhujah dengannya. Khalifah memperkenankan permintaan Si Dahri dan memerintahkan Sheikh Hammad dengan diberi tangguh hingga keesokan harinya. Pada pagi esok, Imam Abu Hanifah yang masih kecil telah mendapati gurunya itu berada dalam keadaan dukacita. Beliau pun bertanyakan sebabnya. Gurunya menjawab:
"Aku telah dipanggil oleh Khalifah untuk berdebat dengan si Dahri dalam perhimpunan para ulama. Semalam aku juga telah bermimpi sesuatu yang buruk".
Imam Abu Hanifah: "Apa yang Tuan Guru mimpikan?"
Sheikh Hammad: "Aku bermimpi melihat sebuah dusun yang sangat luas yang terhias. Terdapat sepohon pokok kayu yang berbuah. Kemudian, muncul seekor babi dari suatu penjuru kampung dan memakan buah-buah pohon tersebut sehingga habis dedaun dan buah-buah tersebut. Hanya tinggal batang kayu sahaja. Kemudian, muncul pula seekor harimau daripada umbi pohon tersebut lalu terus menerkam babi itu dan membunuhnya."
Imam Abu Hanifah: "Allah Taala telah mengajarkan saya ilmu ta'bir mimpi. Saya mendapati mimpi ini baik bagi kita dan buruk bagi musuh kita. Jika Tuan Guru izinkan, bolehlah saya ta'birkannya."
Sheikh Hammad: "Ta'birkanlah wahai Nu'man" (nama sebenar Imam Abu Hanifah).
Imam Abu Hanifah: "Dusun luas yang terhias itu adalah agama Islam. Pohon kayu yang berbuah itu ialah para ulama. Batang kayu yang tertinggal itu ialah Tuan Guru sendiri. Babi yang muncul itu ialah si Dahri, manakala harimau itu yang membunuh babi tersebut ialah saya sendiri. Berangkatlah, saya akan turut menemani Tuan Guru. Dengan berkat hemat Tuan Guru dan berkat hadrat Tuan Guru, saya akan patahkan hujahnya."
Sheikh Hammad bergembira dengan kata-kata Imam Abu Hanifah itu, lalu bertolak bersama ke Masjid Jami'. Kemudian, Khalifah tiba di samping orang ramai telah berhimpun di sana. Si Dahri datang dan terus naik ke mimbar serta bertanya:
"Siapakah di kalangan kamu yang akan menjawab soalan-soalanku?"
Imam Abu Hanifah menjawab: "Nyatakan saja soalan kamu, orang yang tahu akan menjawabnya."
Si Dahri: "Siapakah engkau ini, wahai budak? Engkau bercakap denganku sedangkan orang-orang yang ada kemegahan, orang tua, berserban besar, berpakaian labuh dan berlengan baju yang luas tidak mampu berdebat denganku. Inikan pula kamu yang masih kecil, masih mentah dan hina."
Imam Abu Hanifah: "Allah Taala tidak memberikan ketinggian dan kebesaran kepada orang yang berserban besar, berpakaian penuh kemegahan dan berlengan baju yang luas, tetapi Allah memberi kepada para ulama seperti firman-Nya, bermaksud:
Dan (Allah memberikan kepada) orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan
beberapa darjat. Surah Al-Mujadalah (58) : 11
Si Dahri: "Engkaukah yang akan menjawab soalan-soalanku?"
Imam Abu Hanifah: "Aku akan menjawab dengan taufiq Allah."
Si Dahri pun mula bertanya: "Adakah Allah itu wujud?"
Imam Abu Hanifah: "Ya."
Si Dahri: "Di mana?"
Imam Abu Hanifah: "Allah tidak bertempat."
Si Dahri: "Bagaimana mungkin Dia wujud tapi tidak bertempat?"
Imam Abu Hanifah: "Dalilnya ada pada diri anda."
Si Dahri: "Mana dia?"
Imam Abu Hanifah: "Bukankah kamu mempunyai nyawa?"
Si Dahri: "Memang."
Imam Abu Hanifah: "Di manakah tempat nyawa atau roh kamu itu? Di kepala kamukah? Atau di perut kamu? Atau di kaki kamu?"
Si Dahri tercengang-cengang tidak tahu jawab. Kemudian Imam Abu Hanifah menyebutkan pula tentang air dengan mengatakan:
"Bukankah air susu itu mempunyai lemaknya?"
Si Dahri: "Ya."
Imam Abu Hanifah: "Di manakah terletaknya lemak itu di dalam susu? Adakah di sebelah atas atau di sebelah bawah?"
Sekali lagi Si Dahri tidak dapat menjawab. Imam Abu Hanifah menambah: "Sebagaimana roh juga tidak bertempat di dalam tubuh, lemak tidak bertempat di dalam susu, maka Allah juga tidak bertempat di alam buana ini."
Si Dahri menyoal lagi: "Apa yang ada sebelum Allah dan apa yang ada selepas-Nya?"
Imam Abu Hanifah: "Tiada sesuatu sebelum Allah dan tiada sesiapa selepas-Nya."
Si Dahri: "Bagaimana dapat memahami tiada sesuatu yang mendahului yang wujud dan tiada sesuatu selepasnya?"
Imam Abu Hanifah: "Buktinya ada pada anggota badanmu."
Si Dahri: "Apa dia?"
Imam Abu Hanifah: "Tiada sesuatu pun yang mendahului ibu jari tanganmu. Dan tiada sesuatu pun yang ada selepas jari kelingkingmu. (penulis: logik ini sangat tinggi, barangkali orang awam macam kita tidak memahaminya, wAllahua'lam) Begitu jugalah dengan Allah Taala. Tiada sesuatu sebelum-Nya dan tiada sesuatu selepas-Nya."
Si Dahri: "Ada satu lagi soalan yang ingin aku tanyakan."
Imam Abu Hanifah: "Kemukakanlah, Insya Allah aku akan menjawabnya."
Si Dahri: "Apakah yang dilakukan oleh Allah sekarang?"
Imam Abu Hanifah: "Cara engkau tidak betul. Sepatutnya orang yang menjawab mesti berada di mimbar dan orang yang bertanya berada di bawah. Aku akan menjawab jika aku berada di mimbar dan engkau pula di bawah."
Si Dahri pun turun, Imam Abu Hanifah pula di mimbar. Setelah beliau duduk, si Dahri itu pun bertanyakan soalan tadi.
Imam Abu Hanifah menjawab: "Inilah yang Allah Taala lakukan sekarang. Dia menggugurkan yang batil seperti kamu dari atas ke bawah dan menaikkan yang benar seperti aku dari bawah ke atas."
Si Dahri rasa tertewas dan hujahnya dipatahkan.
No comments:
Post a Comment